Saturday, August 18, 2007

Waspada Pujuk Rayu Ejen Kelab

Oleh SYED M. RIDZUWAN SYED ISMAIL

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dengan ejen kelab pelancongan, kesihatan dan perubatan yang semakin agresif menggunakan taktik memujuk, memperdaya dan ‘memaksa’ orang ramai menyertai skim itu yang menetapkan yuran ribuan ringgit.

Utusan Malaysia menerima banyak panggilan dan surat aduan yang melahirkan rasa kurang senang dengan modus operandi serta taktik pemasaran kasar ejen kelab terbabit yang didakwa kononnya bertaraf mewah dan untuk orang kenamaan (VIP).

Dalam kebanyakan kes, ejen menggunakan cara hampir sama iaitu dengan panggilan telefon secara rambang beberapa kali sebelum menjemput pelanggan menghadiri taklimat.

Selalunya bakal pelanggan disifatkan sebagai orang yang sangat bertuah kerana terpilih menyertai ‘kelab eksklusif’ mereka sebelum dipujuk menghadiri taklimat yang diaturkan.

Apabila ‘mangsa’ bersetuju menghadiri taklimat itu, mereka akan terus dihubungi untuk memastikan kehadiran.

Dengan menghadiri atau menyertai taklimat program kelab percutian, kesihatan dan perubatan itu, mangsa sudah terperangkap.

Pelbagai taktik pujuk rayu dan rayuan psikologi yang digunakan membuatkan mangsa berasa serba salah dan ini menyukarkan mereka untuk ‘menolak’ tawaran menyertai keahlian kelab tersebut.

Akhirnya mereka akan menjadi seperti ‘dipukau’ kerana dengan mudah sanggup membayar sejumlah wang sebagai pendahuluan atau menyerahkan kad kredit untuk bayaran bernilai ribuan ringgit.

Kerugian

Salah seorang mangsa, Abdul Rahman Abdullah, 58, memberitahu, beliau kerugian RM2,000 apabila ejen sebuah kelab percutian mewah enggan mengembalikan wang pendahuluan yang dibayar secara ‘paksaan’.

Beliau mendakwa terpaksa membayar wang itu selepas mendengar taklimat di sebuah hotel bertaraf lima bintang di ibu negara pada 11 Mei lalu.

“Saya setuju hadiri taklimat itu sebab sudah tidak tahan terima panggilan telefon ejen iaitu tiga hingga empat kali sehari.

“Selesai taklimat hampir lima jam, saya setuju menyertai kelab itu. Ejen terus meminta bayaran pendahuluan tanpa memberi saya masa untuk berfikir panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Rahman, setelah menerima wang, ejen terus mendiamkan diri dan sukar dihubungi semula selama beberapa hari.

Ini membuatkan beliau berasa sesuatu tidak kena berlaku. Rahman menukar fikiran dan ingin menarik diri daripada kelab tersebut.

“Apabila saya minta wang pendahuluan semula, ejen mengatakan perjanjian sudah ditandatangani dan bayaran tidak dapat dipulangkan sedangkan mengikut perjanjian, wang itu diberikan semula dalam tempoh 10 hari jika pelanggan menarik diri atau enggan menjadi ahli,” ujarnya.

Rahman berkata, walaupun beliau bersemuka dengan pegawai atasan kelab terbabit, mereka tetap enggan memberikan wang pendahuluan, malah menawarkan pinjaman RM25,000 daripada kelab untuk menjadi ahli.

“Disebabkan tidak puas hati, saya buat laporan di Balai Polis Serdang dan Pejabat Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kajang,’’ katanya.

Seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Azlan, 40-an, berkata, dia hampir tertipu apabila menerima tawaran cabutan bertuah ketika menghadiri konsert seorang artis terkenal di ibu negara, baru-baru ini.

“Ketika itu pemegang tiket konsert itu diminta mengisi borang maklumat diri. Sesiapa terpilih dijanjikan baucar dan hadiah sampingan.

“Saya setuju hadir sesi temu janji dan terkejut mendapati ramai penonton dan pelanggan bertuah lain datang mengambil baucar penginapan itu yang dibuat dalam tiga sesi iaitu pagi, petang dan malam,” ujarnya.

Azlan berkata, sebelum mengambil baucar pelanggan dikehendaki meluangkan masa untuk mendengar taklimat mengenai hotel itu di pinggir Kuala Lumpur.

“Kemudian baru saya sedar hotel itu mahu cari ahli baru untuk kelab percutiannya tetapi dengan nama hotel lima bintang yang terkenal itu, saya tidak fikir bayaran dan syarat-syarat keahliannya murah dan mudah.

Keterlaluan

“Apa yang menjadi tanda tanya ialah ejen mahu keputusan dibuat pada hari berkenaan sama ada saya mahu menyertai kelab itu atau tidak bagi mendapatkan baucar yang dijanjikan,” jelasnya.

Beliau memberitahu, pendekatan yang digunakan juga agak keterlaluan iaitu pelanggan ditipu kononnya mendapat baucar percutian tetapi sebenarnya ‘dipaksa’ menyertai kelab tersebut terlebih dahulu.

“Strategi pemasaran seperti itu boleh memerangkap pelanggan kerana baucar yang ditawarkan hanya taktik untuk mengumpan orang ramai mendengar kempen mereka.

“Taktik pemasaran pihak hotel itu jelas memperdaya orang ramai,” ujar Azlan yang mahu pihak KPDNHEP menyiasat gejala tersebut.

Seorang kakitangan kerajaan yang mahu dikenali sebagai Othman, 30-an, turut menerima nasib yang sama apabila dijemput mendengar ceramah percutian eksklusif di sebuah hotel terkemuka.

“Bagaimanapun, saya tegaskan saya hanya mahu dengar taklimat tetapi tidak berminat dengan skim percutian yang ditawarkan.

“Saya akui memang sukar untuk menolak tawaran itu apabila pelanggan bersetuju menghadiri taklimat. Pendekatan yang digunakan terlalu agresif, penuh dengan pendekatan psikologi dan ‘pemaksaan’,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Emilia, 37, mendakwa selalu dihubungi ejen kelab percutian, kelab kesihatan dan perubatan.

“Yang terbaru kelab VIP yang semuanya mensyaratkan yuran keahlian antara RM500 dan RM3,000.

“Dalam kes kelab perubatan, saya hampir 20 kali dihubungi dalam tempoh sebulan oleh ejennya yang menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma yang kononnya dikendalikan pakar sebuah hospital terkenal di Subang Jaya.

“Walaupun diberitahu saya tidak berminat dan jangan hubungi lagi namun ejen yang degil terus menelefon. Saya rimas dengan mereka yang tak serik-serik menipu dan memaksa orang lain,” ujarnya.

Beliau turut melahirkan kehairanan bagaimana ejen tersebut mengetahui nombor telefon bimbitnya. Mereka mendakwa ia diperoleh daripada pusat kad kredit dan sistem maklumat hospital tertentu. - Utusan Malaysia, 06 OGOS 2007